Kisah Burung Bangau Dengan Seekor Ketam

Sewaktu kecil, saya dihidangkan dengan pelbagai cerita rakyat. Tidak kira ketika di sekolah mahupun di rumah. Masih lagi saya ingat inisiatif Filem Negara Malaysia yang menayangkan cerita-cerita kartun rakyat seperti kisah burung gagak, kisah monyet yang degil dan juga kisah si kancil dan buaya. Begitulah kehidupan kanak-kanak suatu ketika dahulu yang dibesarkan dengan cerita rakyat, sehinggakan jika sewaktu kecil kita melakukan kesalahan, watak dalam cerita-cerita rakyat ini sering digunakan untuk menasihati kita.

Saya teringat satu kisah seekor burung bangau dengan seekor ketam. Sumber cerita sememangnya saya sudah lupa tetapi setiap cerita rakyat yang disampaikan mempunyai jalan cerita dan moral yang kuat. Kisah seekor bangau yang hidup di sekitar sebuah tasik yang turut dihuni oleh pelbagai spesis ikan, katak dan ketam.

Bangau ini yang telah pun uzur, tidak mampu lagi untuk menangkap ikan-ikan kecil untuk dijadikan makanannya. Dia duduk termenung dalam keadaan sedih kerana mungkin dia akan mati kelaparan. Tiba-tiba disapa seekor katak:

“Aku lihat kau selalu sedih, kenapa?”

“Aku sedang memikirkan nasib kita penghuni tasik ini” Jawab si bangau.

“Apa masalahnya, kita dah lama hidup aman di sini, tiada siapa yang kacau kita”

“Itulah kamu, aku dengar manusia kata tempat kita ni akan kemarau, kalau tasik ini kering, semua hidupan akan mati” Cerita bangau lagi.

Sang Katak terus menceritakan hal ini kepada penghuni tasik. Maka gemparlah suasana tasik. Burung bangau ini mencadangkan mereka berpindah ke tasik yang lebih besar. Tasik itu tidak mungkin kering walhal berlaku kemarau sekalipun. Si bangau sendiri akan menerbangkan bagi memindahkan mereka. Maka, mereka setuju dengan cadangan si bangau.

“Tetapi aku sudah uzur, aku hanya mampu untuk membawa seekor demi seekor dari kalian” tambah si bangau.

Burung bangau ini mula memindahkan penghuni tasik seekor demi seekor. Tetapi dia tidak membawa ke tasik seperti yang dijanjikan, namun membawa ke batu untuk dijadikan santapan makanannya. Dia begitu gembira kerana mampu memperdayakan penghuni tasik itu.

“Memang korang semua bodoh! Hahaha!” ketawa si bangau.

Begitulah perbuatannya sehingga giliran si ketam. Disebabkan ketam ini agak besar berbanding ikan, dia memegang leher si bangau dengan penyepitnya untuk dipindahkan. Apabila bangau terbang ke batu, si ketam dapat melihat tulang-tulang ikan yang berselerakan. Dia mula mengesyaki sesuatu. Memang pasti, itu tulang kawan-kawannya yang menjadi mangsa si bangau yang jahat itu.

“Matilah aku dimakan oleh si bangau ini, aku mesti melakukan sesuatu” ketam berbisik pada dirinya sendiri.

“Di mana tasik yang kamu ingin bawa aku?” Tanya ketam, penyepitnya masih lagi di tengkuk si bangau.

“Kali ini tiba masanya engkau pula yang menjadi santapan aku” Ketawa si bangau.

Dengan perasaan marah si ketam terus menyepit leher si bangau sambil berkata: “Engkau telah memperdayakan kami”

Pernafasan bangau mula tersekat dan dia merayu kepada ketam untuk melepaskannya. Namun dia teruk menyepit leher si bangau sehingga putus. Dengan perasaan gembira, dia membawa kepala si bangau ke tasik tempat asal mereka dengan perlahan. Tiba di sana, si ketam menceritan apa yang terjadi dan mereka semua gembira kerana ketam telah menyelamatkan mereka dari menjadi mangsa seterusnya si bangau itu.

Begitulah sebuah cerita rakyat. Ketam menjadi ‘hero’ dalam komunitinya. Cuma hari ini kanak-kanak dibesarkan dengan seekor ketam yang mata duitan dalam siri kartun Spongebob Square Pan iaitu ‘Mr. Crab’. Tiada lagi cerita rakyat terbitan Filem Negara Malaysia. Padahal budi dan makna yang disemai melalui cerita rakyat yang suatu ketika dahulu pernah ditontonkan di kaca televisyen amat jelas dan bermakna.

Kanak-kanak dan orang dewasa lebih disogok dengan hiburan yang melampau. Dalam surah As-Syams ayat 8, Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya”

Apabila ulama’ tafsir menafsirkan ayat ini, bagaimana Allah taala menyusun kalimah kefasikan dahulu diikuti kalimah ketakwaan dalam ayat ini, ini kerana jiwa manusia ini lebih terdedah kepada nilai fasik dan bersalahan kepada Allah taala namun nilai ketakwaan itu perlu disemai dan dibaja.

Seorang ustaz memberi perumpamaan fasik dan takwa ini ibarat lalang dan padi.

Lalang walau tidak diletakkan baja, ia tetap tumbuh meliar, manakala padi perlu diletakkan baja dan pada masa yang sama perlu diletakkan racun rumpai untuk menghapuskan lalang.

Begitulah nilai ketakwaan yang perlu disemai, dipupuk, dibajai sejak kecil kerana pelbagai nilai kefasikan yang tumbuh meliar bak lalang bila-bila masa sahaja mampu untuk menyesatkan umat manusia.

Si Bangau Moden

Entah kenapa sesuatu nilai yang saya peroleh sekarang ini, saya akan kaitkan dengan harga isu petrol yang menggila. Mungkin suasana ini boleh diibaratkan Si Banagu Moden yang memakan rakyatnya. Memperdayakan rakyat dengan kata-kata manis dengan menjanjikan sesuatu yang lebih selesa. Rakyat bagai digula-gulakan. Apalah gaya hidup saya yang perlu diubah. Harga makanan mula menggila. Untuk saya bertukar kepada pakaian bundle, sememangnya itulah pakaian saya dari tahun 1 lagi.

Entahlah, kamu Si Bangau Moden masih lagi gaya hidup kamu, potong elaun keraian 10% pun dah canang satu dunia!

Satu Respons bagi “Kisah Burung Bangau Dengan Seekor Ketam”

  1. ammaro Berkata:

    saya nak jadi hero spt abg ketm hahahaha

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: