Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan

Saya tidak pasti, penulisan saya dalam blog ini berbentuk diari, rencana politik, kupasan ilmu dakwah atau pun apa-apa sahaja. Pernah ditanya pada awal penulisan dahulu, apakah tema blog saya. Saya tidak tahu. Yang pasti apa yang ingin saya tulis, saya tulis, tanpa mengkategorikan penulisan saya, apatah lagi memakaikan satu tema khusus untuk blog saya ini.

Cuma hari ini saya rasa, perjalanan kehidupan saya seharian adalah ringkas tapi memberi signifikan pada diri saya dan orang di sekitar saya. Bersama Ed (housemate) pada awal pagi untuk ke Pasti Arrahman (2) untuk meneruskan usaha melatih adik-adik Pasti untuk perlawanan bola sepak antara Pasti Negeri Johor, 24 hb ini. Sesi latihan hari ini agak lama berbanding hari-hari biasa. Usai sesi latihan, baru kami bersarapan. Bak kata Saifulislam.com ‘erti hidup pada memberi biarpun hanya secawan kopi’. Walaupun hanya segelas teh ais dan nasi lemak, nikmat ‘memberi’ kepada Ed terasa beerti bagi saya. Kemudian kami pulang ke rumah untuk meneruskan rutin kami sebagai pelajar. Ed yang masih dalam proses penulisan tesisnya dan saya bersama penulisan kertas kerja ke-3 saya untuk conference.

Sarapan pagi yang agak lewat. Menyebabkan perut hanya terasa lapar pabila selepas Asar. Rupanya, bukan saya dan Ed sahaja yang belum makan tengah hari, Adzfar dan Khalil (housemates) yang baru pulang bekerja pun masih belum makan tengah hari. Usai solat Asar kami berempat ke kedai untuk makan tengah hari lewat petang.

“Jom kita ke tasik petang ni…bagi makan ikan” Aku mengajak Khalil yang sedang khusyu’ makan

“Ok jugak, kita beli roti dulu”

Memang kebiasaan aktiviti kami satu rumah bila ada masa lapang ke tasik UTM untuk bersiar-siar. Memberi ikan makan. Hanya roti. Tapi bila melihat limpahan ikan yang menyambar makanan dari kami, kami puas.

“Ada bola kan dalam kereta ko Ed?” Teringat saya pada bola yang kami guna semasa latihan pelajar Pasti pagi tadi.

“Best jugak main bola dekat tasik ni, tak dibuat orang”

Kami bermain bola di padang bersebelahan dengan tasik kerana bimbang jika bermain di tepi tasik, bola mungkin terjatuh ke tasik. Beriadhah bersama-sama amat menyeronokkan. Keluar peluh, sihat tubuh badan. Agak 20 minit lagi Maghrib, kami pulang ke rumah. Setiba di rumah, Abg Man pulang dengan wajah masam dan letih.

“RM700 aku repair kereta ni” Keluh Abg Man. Yelah, jejaka yang bakal berkahwin hujung bulan ni mesti sangat berkira pasal duit.

“OK takpe Abg Man, kami tolong basuh kereta abang” Saje kami nak ambil hati Abg Man. Basuh keretanya bersama-sama selaku orang bujang.

Lepas Isya’ saya bergegas ke Pasti Siswa 3, Taman Pulai Utama. Ada majlis solat hajat dan doa selamat di sana. Majlis ini bersama ibu bapa pelajar Pasti. Semoga Allah merahmati majlis kami.

Balik ke rumah, jam sudah 11.30 malam. Terasa untuk mencoretkan aktiviti saya seharian di blog. Sambil merancang aktiviti keesokan hari:

Pagi      : Latihan bola sepak pelajar Pasti

              Siapkan abstrak kertas kerja

Petang : Ke makmal LIS untuk install perisian Mapinfo bagi kegunaan key in data strata.

Malam : Usrah Pemuda.

” Allahumma, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung pada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, dan aku berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bahkil, dan aku berlindung pada-Mu dari cengkaman hutang dan penindasan orang” 

Satu Respons to “Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan”

  1. muhammadridwanto Says:

    Salam,
    Bagus lah ko ni…

Tinggalkan Jawapan kepada muhammadridwanto Batal balasan